Cina India Kaum Pendatang

Isnin, 25 April 2011

Kebijaksanaan, Keluhuran Kepimpinan Najib Menyentuh Hati Rakyat

WALAUPUN pilihan raya negeri Sarawak telah selesai lebih seminggu lepas, namun pelbagai pihak masih bercakap mengenainya, terutama tentang kehebatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mengemudi Barisan Nasional (BN) untuk terus mengekalkan majoriti dua pertiga di negeri itu.

Kebanyakan mereka begitu kagum dengan gaya Najib yang cukup berhemah ketika mendampingi rakyat serta pendekatan beliau yang begitu luhur dalam meraih sokongan padu mereka.

Keikhlasan, gaya kepimpinan, kebijaksanaan dalam melaksanakan dasar dan kehadiran Najib di Sarawak dianggap oleh banyak pihak sebagai faktor penting yang menyumbang kepada kemenangan BN pada pilihan raya itu.

Mengulas peranan penting Najib dalam pilihan raya itu, Naib Presiden Gerakan, Datuk Raymond Tan Shu Kiah berkata, “yang penting, setiap apa yang kita lakukan, ia (tindakan itu) mestilah menggembirakan dan sampai kepada mereka (pengundi).”

Tan berkata banyak yang boleh dipelajari oleh ahli politik BN daripada pilihan raya negeri Sarawak, termasuk bermuhasabah diri sama ada mereka telah berusaha dengan sedaya upaya untuk menyelesaikan isu yang disuarakan oleh rakyat dan tidak menganggap segala yang telah mereka lakukan selama ini, sudah memadai.

Berdasarkan keputusan pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini, bolehlah dibuat kesimpulan bahawa tindakan sesetengah pemilih mengundi calon pembangkang di Sarawak menunjukkan bahawa mereka tidak berpuas hati kerana keperluan mereka tidak dipenuhi.

“Kami dapat melihat pelbagai perkara ketika berada di Sarawak (semasa berkempen). Saya dapat mengesan wujudnya perasaan tidak puas hati dan kecewa… kerana ada perkara tertentu yang patut dibuat, tetapi tidak dilaksanakan,” kata
Tan.

Tan, yang juga Menteri Pembangunan Industri Sabah, berkata ‘gelombang Pembangkang’ bukan saja telah melanda kawasan bandar, tetapi juga kawasan di luar sempadannya seperti yang dapat dilihat daripada begitu banyak jumlah undi yang diberi kepada pencabar BN di tempat lain.

“Ia menyeluruh, melibatkan semua masyarakat, bukan saja pengundi Cina. Mereka (pengundi) telah membuat keputusan masing-masing. Tentu ada sebabnya mereka bertindak demikian,” kata beliau.

Beberapa ahli politik di Sarawak bersetuju dengan pandangan Tan itu dan akur bahawa ahli politik BN perlu belajar daripada Najib, yang telah berjaya memikat hati rakyat di negeri itu sejak hari pertama beliau menjadi Perdana Menteri
lagi.

“Sesungguhnya, pilihan raya ini menjadi titik perubahan untuk kita. Kebanyakan kita sepatutnya telah mengambil iktibar daripada gaya kepimpinan Perdana Menteri, yang sentiasa berlandaskan hubungan dengan rakyat serta
menyelesaikan masalah utama yang mereka hadapi,” kata ketua publisiti Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Sibu Daniel Ngieng.

Para penganalisis politik sering mengaitkan prestasi SUPP yang boleh dianggap lemah pada pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini dengan persepsi rakyat bahawa parti itu tidak menjaga kepentingan masyarakat dan kegagalannya dalam menunaikan janji.

Kata mereka SUPP sepatutnya mencontohi gaya kepimpinan Najib, tambahan pula Sarawak adalah negeri pertama yang beliau lawati selepas memgambil alih jawatan Perdana Menteri dan tindakan beliau mengulangi kunjungan ke kawasan pedalaman, jarang dilakukan oleh kebanyakan pemimpin tertinggi negara sebelum beliau.

“PM menjadi faktor penarik di Sarawak dan kaji selidik menunjukkan bahawa populariti beliau dalam kalangan seluruh rakyat mencapai kadar lebih kurang 80 peratus, berbanding hanya 67 peratus bagi Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud,” kata pensyarah kanan UNIMAS Dr Jeniri Amir.

Keikhlasan Najib dalam menangani isu serta menyelesaikan masalah orang ramai amat disanjung tinggi oleh rakyat dan oleh itu tidak hairanlah apabila beliau begitu popular di Sarawak dan hakikat ini amat digeruni oleh barisan Pembangkang sendiri, kata ahli akademik itu.

“Sebab itulah, dalam kempen mereka, parti Pembangkang hanya mengkritik dasar Najib, tapi tidak berani memperkecilkan kepimpinan beliau kerana mereka tahu perbuatan itu tidak boleh diterima oleh rakyat Sarawak,” katanya.

Malah, kata Dr Jeniri, sesetengah parti komponen BN di Sarawak secara terang -terangan menggunakan kedudukan dan kadar penerimaan Najib yang begitu kukuhdalam kalangan rakyat sebagai senjata utama untuk menangkis isu yang membebani mereka.

“Malangnya, SUPP tidak berupaya memanfaatkan sepenuhnya kelebihan itu kerana imejnya yang telah begitu lemah,” kata beliau.

Ahli akademik itu berkata beliau yakin bahawa sejak mula lagi, Perdana Menteri telah dapat mengesan sentimen rakyat Sarawak, terutama dalam kalangan penduduk bandar, berkaitan isu peralihan selera politik di Sarawak. Pembangkang sendiri mengaku bahawa ‘faktor Najib’ telah menggagalkan usaha mereka untuk menarik lebih banyak undi.

Ketua Penerangan PKR Sarawak, See Chee How berkata antara sebab utama pembangkang gagal berbuat demikian ialah tindakan Najib yang sering melakukan lawatan, termasuk pada waktu yang tidak diduga, ke Sarawak.

Semasa tempoh berkempen, Najib telah berkampung di Sarawak dan mengumumkan pelbagai projek serta inisiatif yang berjaya memikat hati dan minda pengundi dari kawasan luar bandar untuk mengundi BN.

Najib mempunyai kesan sensasi di Sarawak dan kehadiran beliau untuk berucap di sesuatu tempat seringkali dibanjiri beribu-ribu hadirin.

Kunjungan mesra beliau ke pekan dan kawasan pedalaman seperti Beladin, Pusa, Spaoh, Song dan Kapit merupakan kunjungan yang berjaya memikat hati rakyat dan memberi kesan mendalam terhadap penduduknya kerana mereka tidak pernah menerima kunjungan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.

Semasa kunjungan beliau ke Bario, kawasan pedalaman yang terletak pada ketinggian 1,100 meter dari paras laut dan menjadi kampung halaman suku kaum Kelabit, Najib melakukan tinjauan mesra ke sebuah klinik baru dan pusat Internet luar bandar yang menggunakan rangkaian satelit.

Di sanalah beliau mengumumkan peruntukan kerajaan sebanyak RM40 juta untuk membina jalan sepanjang 30km dari Ba’Kelalan ke Bario di bawah program yang dikendalikan Kementerian Pertahanan.

Najib juga meluluskan peruntukan RM6 juta untuk membina empat jambatan Bailey di beberapa kawasan tanah tinggi yang kini hanya boleh dijengahi dengan menggunakan pesawat ringan.

Kelabit, antara suku kaum terkecil di Sarawak dan hanya dianggotai kira-kira 5,000 orang, pasti akan mengingati kata-kata Najib bahawa jalan yang dicadangkan pembinaannya itu akan menghubungkan dunia luar dengan kawasan kediaman mereka yang terletak di wilayah paling hujung di Sarawak.

Najib juga telah melawat beberapa pekan di Sarawak yang tidak mempunyai hubungan jalan raya.

Pengumuman beliau tentang pembinan jalan raya bagi menghubungkan Kanowit-Song-Kapit merupakan berita baik bagi masyarakat luar bandar di kawasan terbabit yang sudah lama mengimpikan untuk menikmati kemudahan jalan raya seperti itu sejak Sarawak ditadbir oleh keluarga Brooke lagi.

Malah, ini adalah antara sebab utama penduduk luar bandar memberi undi mereka dalam pungutan suara untuk menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia kerana mereka mahu kerajaan persekutuan membina jalan berkenaan.

Kini, Song dan Kapit, yang terletak di sepanjang Sungai Rejang, hanya boleh dijengahi dengan menggunakan bot ekspres yang mengambil masa perjalanan antara dua dan tiga jam dari Sibu.

“Apabila mendiang datuk saya mengambil keputusan menandatangani dokumen penggabungan negeri ini dengan Malaysia, beliau memberitahu Perdana Menteri ketika itu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bahawa beliau mahu agar sebatang jalan raya dibina bagi menghubungkan Sibu dan Kapit.

“Perkara itu hanya terlaksana dengan kesungguhan Najib dan kami amat berterima kasih kepada beliau,” kata Anggota Parlimen Kapit Datuk Alex Nanta Linggi.

Alex Nanta adalah cucu kepada mendiang Tun Temenggong Jugah, pemimpin terkemuka suku kaum Iban yang turut menandatangani perjanjian pembentukan Malaysia.

Sesungguhnya, kebijaksanaan Najib dalam bidang politik terserlah dalam banyak hal dan keadaan. Beliau berjaya mendampingi rakyat dan tahu bagaimana untuk memikat hati mereka.

Oleh itu, sudah sewajarnya ahli politik BN, sama ada dari Sarawak, Sabah atau Semenanjung Malaysia, mencontohi beliau untuk membantu BN melakukan transformasi politik.
- MediaUMNO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog